SEPANG – Cubaan seorang warganegara Indonesia menggunakan ‘pasport terbang’ tumpas setelah cap keselamatan dikesan palsu dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 2 di sini semalam.
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) berkata, cubaan lelaki berusia 33 tahun itu gagal setelah cap keselamatan didapati mencurigakan ketika melalui pemeriksaan Imigresen kira-kira 6.30 petang.
“Hasil siasatan awal mendapati lelaki tersebut memasuki Malaysia melalui pintu masuk Pasir Gudang, Johor pada 18 Julai 2022 dan direkodkan keluar dari negara ini melalui KLIA pada 13 Ogos 2022.
“Namun begitu, terdapat beberapa cap keselamatan pergerakan keluar dan masuk atas nama subjek bermula 2022 hingga 2025 yang menimbulkan keraguan.
“Pemeriksaan lanjut melalui Sistem MylMMs menunjukkan tiada sebarang rekod rasmi pergerakan keluar atau masuk bagi subjek sepanjang tempoh tersebut.
“Suspek mengakui dia tidak pernah meninggalkan Malaysia sejak 2022,” katanya AKPS menerusi kenyataan hari ini.

Selain itu, suspek juga mengakui cap-cap keselamatan di dalam pasport miliknya itu diperolehi dengan bayaran sebanyak RM4,000.
“AKPS KLIA akan melakukan siasatan lanjut bagi mengenalpasti dalang yang bertanggungjawab melakukan aktiviti flying ini.
“Kami akan membawa perkara ini untuk tindakan tatatertib dan kesalahan jenayah bagi pemalsuan dokumen perjalanan atau sebarang pelanggaran undang-undang imigresen lain,” kata kenyataan itu lagi. – MalaysiaGazette
















