Gambar hiasan

MELAKA – Pemain industri rokok elektronik atau vape merayu kerajaan memfokuskan kepada masalah utama lambakan produk vape haram dan tiruan di pasaran berbanding cawangan memperluaskan pelaksanaan Cukai Pro-Kesihatan ke atas produk itu.

Pengarah Nanostix Innovations Sdn Bhd, Shahbudeen Jalil berkata, walaupun pengenalan cukai itu dijangka memberi kesan terhadap harga produk dan operasi pengeluar, ia merupakan pendekatan kawalan yang lebih wajar, inklusif dan progresif berbanding larangan menyeluruh.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menyatakan hasrat untuk memperluaskan pelaksanaan cukai itu.

“Namun apa yang menjadi persoalan adalah, ia dilihat bercanggah dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang sebelum ini menyatakan kerajaan sedang mempertimbangkan untuk mengharamkan penggunaan vape secara mutlak.

“Kekeliruan turut bertambah apabila terdapat perbezaan pendekatan antara kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri yang telah pun mengambil langkah untuk mengharamkan penjualan vape,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ketidaksepadanan dasar ini menimbulkan kekeliruan yang ketara dalam kalangan pengusaha industri, selain membingungkan pengguna dan dikhuatiri memburukkan industri, menyukarkan pelaburan dan merencatkan perancangan jangka panjang.

“Nanostix berpandangan, masalah utama yang wajar diberi tumpuan adalah lambakan produk vape haram dan tiruan di pasaran yang mana produk-produk ini tidak mematuhi piawaian keselamatan serta tidak dikenakan cukai.

“Ia juga membawa risiko kesihatan yang lebih tinggi kepada pengguna selain menyebabkan kehilangan hasil negara justeru kita merayu kerajaan memberi keutamaan kepada penguatkuasaan yang lebih berkesan terhadap produk haram dan tiruan,” tambahnya.

Shahbudeen berkata, sebagai pemain industri yang komited kepada amalan beretika dan pematuhan piawaian, Nanostix bersedia untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam memastikan keselamatan dan kualiti produk terpelihara.

“Kami menyokong penuh sebarang inisiatif kawalan yang bukan sahaja melindungi kesihatan awam, tetapi juga memelihara kelangsungan industri tempatan yang sah dan bertanggungjawab,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast