KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden MIC, Datuk Sivaraj Chandran hari ini membidas DAP yang didakwanya semakin agresif mengkritik MIC kebelakangan ini dengan melakukan serangan politik bersifat tuduhan tidak berasas.
Sivaraj berkata, dalam dunia politik semua pihak perlu mempunyai kesabaran dan kematangan tinggi kerana kuasa politik tidak bersifat kekal.
“Dalam politik, adakalanya kita disanjung rakyat, dan adakalanya kita ditolak habis-habisan.
”Sejak 2004, saya sendiri menyaksikan bagaimana parti yang dilihat begitu kuat boleh tumbang apabila pengundi membuat keputusan untuk menolak mereka sama sekali,” tulisnya dalam Facebook beliau.
Sivaraj yang juga Ahli Dewan Negara mengulas kenyataan terbaru Pemuda DAP yang menuduh parti masyarakat India itu sudah ditolak rakyat ketika era ini.
Sivaraj menyeru pemimpin politik tidak terlalu selesa dengan kuasa yang ada hari ini kerana senario politik boleh berubah pada bila-bila masa.
“Jangan sombong dan lupa daratan. Hari ini nampak seperti hero, tetapi esok mungkin jadi zero atau terus hilang dari pentas politik. Kita kena terus merendah diri, menghormati semua orang, berkhidmat dengan ikhlas dan tunaikan janji,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Sivaraj menyindir DAP yang kini berganding bahu dengan UMNO dalam kerajaan perpaduan, sedangkan dahulu parti itu kerap menghentam UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara terbuka.
“Dulu kamu serang habis-habisan, minta Presiden UMNO disumbat ke penjara. Tapi hari ini kamu boleh peluk dan cium mulut dengan pemimpin yang sama hanya kerana mahu kekal berkuasa. Kamu fikir rakyat tidak memerhatikan?
“Ingatlah, rakyat semakin bijak menilai dan akan membuat keputusan berdasarkan prestasi sebenar parti, bukan semata-mata janji politik.
“Kamu janji macam-macam sebelum pilihan raya, tapi sekarang terbukti kamu gagal menunaikannya. Parti kami pula dibentuk atas dasar perkhidmatan kepada rakyat dan hasil yang nyata bukan sekadar retorik,” ujarnya.
Mantan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan itu turut meramalkan bahawa sikap angkuh sesetengah pemimpin DAP boleh menjadi antara punca utama keretakan dalam kerajaan perpaduan pada masa akan datang.
“Lagi teruk kalau kamu terus sombong dan memandang rendah pada parti lain. Ingat, politik bukan milik mutlak sesiapa. Hari ini kamu di atas, esok belum tentu,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















