RIYADH – Penyerang sayap Portugal, Joao Felix kini muncul pemain yang mengumpulkan yuran perpindahan keempat termahal dalam sejarah bola sepak global selepas menyertai kelab baharu di Arab Saudi, Al-Nassr.
Felix ketika ini telah mengumpul yuran perpindahan sebanyak £194.89 juta (RM1.10 bilion) daripada lima urusan terdahulu dan hanya di belakang Neymar, Romelu Lukaku serta Cristiano Ronaldo merekodkan angka lebih tinggi.
Untuk rekod, Neymar berada di tangga pertama dengan nilai perpindahan terkumpul £345.39 (RM1.95 bilion) diikuti Lukaku £318.82 (RM1.80 bilion) dan Ronaldo £213.28 (RM1.20 bilion).
Sebelum ini, Felix pernah merekodkan nilai perpindahan €127.2 juta (RM622.35 juta) ketika berhijrah ke Atletico Madrid daripada Benfica.
Rekod-rekod bayaran lain menelan kos €11 juta (RM53.82) ketika dipinjamkan kepada Chelsea sebelum menandatangani kontrak tetap dengan The Blues menerusi €52 juta (RM254.42 juta).
Kemudian, dia dipinjamkan ke AC Milan dengan harga €5.50 juta (RM26.91 juta) diikuti bayaran kepada Al-Nassr berjumlah €30 juta (RM146.78 juta).
Namun jumlah itu tidak menggambarkan impak buat Felix yang bergelut untuk mengekalkan konsistensi selepas meninggalkan Benfica kerana dia gagal menghadirkan kualiti diharapkan. – Agensi
















