KUALA LUMPUR – Kerajaan komited untuk mempromosikan #QuranHour sehingga peringkat antarabangsa dan usaha ini akan dipergiatkan melalui pelbagai platform.
Menurut Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar usaha ini dapat memberikan mesej kepada umat Islam di dunia bahawa kepentingan membaca, memahami dan mengamalkan isi kandungan al-Quran adalah satu budaya hidup.
“Sudah tentu mesej yang cuba disampaikan adalah ia (al-Quran) bukan untuk bacaan sahaja tapi memahami dan perlu diaplikasikan dalam kehidupan.
“Mesej ini bukan sahaja untuk rakyat Malaysia tetapi untuk kita bawa ke seluruh dunia. Memandangkan mesej ini baik, maka usaha ke arah itu akan dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikam Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa QuranHour 2025 (MTHQA#QuranHour) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Bagi edisi Quran Hour kali ini, Surah Al-Saff, dipilih sebagai surah utama untuk dihayati.
Mohd Na’im berkata, surah tersebut memberi pengertian dan galakkan supaya barisan kepimpinan melakukan tindakan berdasarkan apa yang dikatakan.
Surah itu juga mengajak menyeru umat Islam daripada pelbagai peringkat supaya bersatu dalam satu barisan yang kukuh dan teguh.
“Dalam surah ini juga menggalak suruhan kepada kepimpinan melakukan tindakan berdasarkan apa yang kita cakap kemudian melahirkan iltizam untuk memastikan satu bentuk kesatuan dan perpaduan berdasarkan tauhid, kepercayaan kepada Allah dapat digerakkan,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan membaca al-Quran dan memahaminya kemudian mengamalkan setiap suruhan dalam al-Quran dan meninggalkan larangan yang di dalamnya.
MTHQA#Quranhour kali ini bertema ‘Membangun Ummah Madani’.-MalaysiaGazette
















