GEORGE TOWN – Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang, Lim Siew Khim menyelar tindakan segelintir ahli Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan yang menggunakan topeng menyerupai tuala wanita dalam protes terhadap cadangan pelantikan ‘orang luar’ sebagai senator.
Katanya, tindakan itu boleh disalahtafsir sebagai perlakuan tidak sopan dan berisiko mencemarkan maruah wanita serta menjejaskan kesahihan tuntutan yang ingin disuarakan.
“Saya memahami kebimbangan rakan-rakan parti terhadap isu ketelusan dan keadilan dalam keputusan parti, namun simbolik seperti ini boleh membangkitkan semula stereotaip terhadap wanita dan tidak membantu perbincangan yang membina,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyifatkan tindakan berkenaan sebagai gimik murahan yang gagal menumpukan perhatian kepada isu reformasi institusi yang diketengahkan.
“Tindakan yang menjadikan tubuh atau fisiologi wanita sebagai simbol bantahan adalah bertentangan dengan prinsip DAP yang menghormati hak dan maruah wanita.
“Justeru, semua ahli parti harus kekal fokus kepada isu pokok dengan menggunakan hujah berfakta dan pendekatan rasional kerana protes keterlaluan hanya melemahkan mesej yang ingin disampaikan.
“DAP sentiasa menghargai penyertaan dan pemerkasaan wanita. Oleh itu, setiap bentuk ekspresi atau bantahan haruslah mencerminkan profesionalisme dan maruah,” katanya.
Semalam, Kelab Veteran DAP Negeri Sembilan mengecam jawatankuasa parti negeri yang didakwa “menggadai” kepentingan rakyat tempatan apabila mencadangkan pelantikan senator dari luar negeri.
Sebagai tanda protes, beberapa ahli memakai topeng menyerupai tuala wanita dalam satu sidang media yang mencetuskan pelbagai reaksi. – MalaysiaGazette















