Datuk Seri Amiruddin Shari (kiri) hadir pada sidang media selepas selepas mesyuarat Jawatankuasa bersama Penyelarasan Industri (JBI) Selangor, hari ini. Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan melanjutkan bantuan pembiayaan sewa rumah kepada mangsa kejadian letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya selama tiga bulan lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan kali ini lebih mudah kerana senarai penerima sudah ada berbanding bantuan pertama yang memerlukan dokumen terperinci penerima.

“Kita akan teruskan. Saya akan semak dengan Exco Perumahan dalam mesyuarat Jumaat ini

“Hari itu kita beri untuk tiga bulan dulu dan akan sambung lagi tiga bulan. Hari itu lambat sikit kerana hendak dapat senarai dan kali ini untuk sambung tidak ada masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selepas mesyuarat Jawatankuasa bersama Penyelarasan Industri (JBI) Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Pada akhir April lalu, bantuan sewa rumah selama tiga bulan disalurkan kepada 396 keluarga mangsa tragedi kebakaran paip gas di Putra Heights pada Khamis ini.

Bantuan berjumlah RM2,000 sebulan itu diserahkan kerajaan Selangor kepada semua ketua isi rumah yang layak menerimanya.

Kesemua 396 ketua isi rumah dikenal pasti layak menerima bantuan kewangan daripada senarai mangsa yang membuat permohonan sebelum ini.

Media sebelum ini melaporkan Selangor memperuntukkan RM2.73 juta untuk bantuan sewa rumah kepada 455 keluarga yang terkesan dalam insiden letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, awal April lalu.

Kebakaran 1 April itu mengakibatkan 81 rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, manakala 218 rumah tidak terjejas termasuk di Kampung Tengah, Puchong.

Mengulas mengenai wujud jurang perbezaan harga siling baik pulih rumah di bawah seliaan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang mana harga siling baik pulih rumah di Putra Heights ialah RM60,000 sementara RM30,000 bagi Kampung Kuala Sungai Baru, Amiruddin berkata, tidak timbul isu darjat dan pilih kasih dalam penentuan harga siling itu.

Beliau berkata, terdapat beberapa kategori dengan rumah yang rosak keseluruhannya ditetapkan pada harga siling RM300,000.

Jelasnya, bagi rumah yang perlu pembaikian kecil adalah sehingga RM60,000 dengan kedua-duanya mempunyai proses tertentu.

“Tiada beza-bezanya lah, kita tetapkan (harga silingnya). Kalau rumah itu kecil kerosakannya di Putra Height tetap harga silingnya RM60,000,” katanya.

Amiruddin turut memaklum, perkembangan kemajuan adalah pembaikan rumah-rumah kini berada pada tahap 22 hingga 24 peratus seperti dinyatakan dalam sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini dengan pembangunannya dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad.

“Malahan di Kampung Kuala Sungai Baharu lebih cepat. Mungkin ada suara, kita akan semak realiti berlaku di bawah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast