KUALA LUMPUR – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menyalurkan RM543.79 juta kepada semua negeri untuk kerja-kerja teknikal berkaitan pengurusan sungai bagi tempoh 2022 hingga 2025.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ini adalah untuk melaksanakan kerja-kerja kecil melibatkan skop utama seperti kerja-kerja pengaliran sungai, kerja-kerja menstabilkan tebing sungai dan juga menaik taraf saluran serta struktur berkaitan.
Beliau yang menjawab pertanyaan Chow Kon Yeow (PH–Batu Kawan) mengenai pengurangan peruntukan pusat sejak 2022 bagi projek-projek pemuliharaan sungai berkata, walaupun bidang pengurusan sungai terletak di bawah kuasa Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan tetap mengambil tanggungjawab membantu melalui saluran di bawah Rancangan Malaysia.
“Perkara ini tidak termaktub dalam Perlembagaan maka tanggungjawab itu masih di bawah negeri, cuma pendekatan Kerajaan Persekutuan memang kita kemukakan melalui RMK-RMK untuk mendapatkan peruntukan tersebut,” jelas beliau pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab pertanyaan tambahan Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN- Kuala Kedah) mengenai mekanisme agihan peruntukan itu, Akmal Nasrullah berkata, ia diagih mengikut keperluan serta tahap bencana yang berlaku di negeri-negeri.
“Bila disebut tadi peruntukan yang kita belanjakan untuk tempoh empat tahun itu, di sini anggarannya sekitar RM150 juta yang kita agihkan setiap tahun. Di peringkat jabatan teknikal seperti JPS ini, agihan itu dibuat mengikut keperluan,” ujarnya.
Tambah beliau, sebahagian peruntukan itu disalur sebelum bencana untuk tujuan kesiapsiagaan, manakala selebihnya diagih secara kecemasan selepas berlaku musibah berdasarkan penilaian di peringkat negeri dan jabatan teknikal.
“Penilaian dibuat di peringkat negeri sebelum negeri angkat kepada peringkat jabatan untuk kita teliti dan membantu yang sepatutnya dari segi peruntukan yang disediakan,” jelasnya.
Dalam masa sama, kementerian turut meneliti cadangan mewujudkan sistem penyenggaraan sungai seperti MARRIS untuk jalan raya, namun menyifatkan ia perlu dipertimbangkan dari aspek dasar hubungan Persekutuan–Negeri dan Perlembagaan. – MalaysiaGazette
















