Mohd Alwi.

KEPALA BATAS – Polis Pulau Pinang telah melengkapkan kertas siasatan kes seorang doktor kerajaan yang disyaki berkelakuan tidak senonoh serta mencabul pesakit wanita di negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tiga kes yang dilaporkan di daerah Timur Laut kini dalam proses menunggu keputusan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

“Siasatan bagi ketiga-tiga kes berkenaan telah dilengkapkan termasuk laporan kimia seperti yang diminta TPR sebelum ini.

“Kertas siasatan yang terbaru telah dikemukakan kepada pejabat TPR untuk arahan lanjut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelupusan Barang Kes Dadah bagi Kontinjen Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut bagi satu lagi kes yang dilaporkan di daerah Barat Daya, Mohd Alwi berkata, siasatan di peringkat Kontinjen Pulau Pinang telah selesai dan akan dirujuk kepada Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam masa terdekat.

“Kertas siasatan kes di Barat Daya akan dihantar ke Bukit Aman sebelum diserahkan kepada TPR,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang doktor lelaki disiasat selepas beberapa laporan polis dibuat oleh pesakit wanita yang mendakwa dicabul ketika menerima rawatan di beberapa fasiliti kesihatan swasta sekitar Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast