MELAKA – Bukit Aman menerusi Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) dan agensi lain berjaya menumpaskan sindiket penjualan kayu gaharu secara haram bernilai lebih RM106 juta yang turut dieksport ke luar negara.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejayaan itu hasil risikan melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang berjaya menyerbu dua lokasi sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai di sini dan rumah di Ayer Keroh pada jam 11.30 pagi Khamis lalu.

Dzulkhairi Mukhtar
Menurutnya, dalam serbuan pertama, pasukan serbuan menjumpai longgokan disyaki kayu dan bongkah gaharu, serta longgokan guni yang disyaki mengandungi serbuk kayu sama, mesin ayak dan dapur penyulingan minyak di luar kilang.
“Hasil pemeriksaan, semua kayu gaharu spesies pokok aquilaria malaccensis@Agarwood itu disyaki diperolehi secara tidak sah dari seluruh negara termasuk dari sebuah kawasan padang golf di negeri ini.
“Kesemua barangan iaitu 566 guni kayu karas berat 12,178 kilogram, 277 guni serbuk kayu (5,783 kg) kotak kayu karas (100kg), kayu karas jenis damar minyak (2,585 kg), 43.84 meter padu minyak, 167 tunggul kayu disyaki diimport keseluruhannya bernilai RM106,431,468,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dilokasi serbuan Operasi Bersepadu Khazanah di Bukit Rambai, di sini, hari ini.
Menurutnya, turut dirampas adalah beberapa peralatan lain iaitu mesin dan tong gas berjumlah RM384,362 selain menahan dua lelaki pekerja warga negara Myanmar yang tidak mempunyai permit.
Dzulkhairi berkata, hasil semakan lanjut turut mendapati pemilik kilang yang disyaki beroperasi sejak setahun lalu tidak berdaftar dengan Jabatan Perhutanan.
“Manakala dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Ayer Keroh, polis menahan wanita warga tempatan berumur 55 tahun bersama barang kes yang dipercayai bernilai tinggi kerana perlu disimpan di kawasan berhawa dingin.
“Polis tidak menolak kemungkinan kes ini mempunyai kaitan dengan tiga kejadian kehilangan kayu gaharu kawasan hutan padang golf di sekitar Melaka.
“Kita syak kayu ini adalah untuk pasaran tempatan selain turut dieksport dan kita percaya terdapat beberapa lagi ahli sindiket yang beroperasi menggunakan modus operandi sama,” tambahnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 dan Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu 1986.
Agensi lain yang menyertai operasi itu ialah Jabatan Perhutanan, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ). – MalaysiaGazettte
















