KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak bersetuju doa Qunut Nazilah dipolitikkan dan dibacakan kepada mana-mana pihak termasuk yang beliau sendiri tidak senangi.
Sehubungan itu, beliau menolak pandangan supaya doa Qunut Nazilah dibacakan kepada pihak yang telah membatalkan peruntukan kepada sekolah-sekolah agama sebelum ini.
“Saya percaya mereka (pengusaha sekolah agama) adalah penyokong setia di sebelah sana (pembangkang), jadi mereka patut nasihatlah supaya sempat kita bertaubat, berubah dan memberi sokongan kepada perkembangan Islam,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab pertanyaan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada beliau bersetuju sekiranya doa Qunut Nazilah dibacakan kepada pihak yang telah membatalkan peruntukan kepada sekolah-sekolah agama sebelum ini.
Terdahulu, Anwar ketika menjawab soalan tambahan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung soal peruntukan berkata, beliau menerima aduan kerajaan pembangkang atau SG4 sebelum ini membatalkan peruntukan kepada sekolah agama rakyat.
Bagaimanapun, katanya, bermula tahun 2022, kerajaan memberikan semula peruntukan itu kepada semua sekolah agama rakyat termasuk di negeri SG4.
Malah, tambah beliau, kerajaan juga memperkukuhkan sekolah agama tersebut dengan bidang pendidikan lain seperti TVET dan pengajian digital seperti kecerdasan buatan (AI).
Terdahulu, isu bacaan Qunut Nazilah menjadi pertikaian selepas dibacakan ketika Himpunan Turun Anwar di ibu negara pada 26 Julai lalu dengan dipimpin oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.
Tindakan itu turut mendapat teguran beberapa tokoh agama yang menyifatkan doa itu tidak sepatutnya ditujukan kepada sesama umat Islam hanya kerana perbalahan politik yang bertentangan dengan adab diajar Rasulullah SAW. – MalaysiaGazette
















