SYDNEY – Australia menaik taraf angkatan tentera lautnya menerusi perolehan 11 buah kapal kelas Mogami yang akan dibina syarikat Jepun, Mitsibishi Heavy Industries, kata Menteri Pertahanan, Richard Marles.
Australia yang yang mengumumkan penstrukturan tentera secara besar-besaran pada 2023 memberi tumpuan kepada kemungkinan serangan jarak jauh bagi bertindak balas yang lebih baik terhadap tentera China.
Negara itu bekerja keras untuk membesarkan armada kapal perangnya kepada 26 buah daripada 11 buah dalam tempoh 10 tahun akan datang.
“Ini jelas perjanjian industri pertahanan terbesar dilakukan antara Jepun dan Australia,” kata Marles sambil menambah perjanjian itu berjumlah AS$6 bilion.
Mitsubishi Heavy Industries dianugerahkan tender itu yang turut mendapat minat daripada syarikat Jerman, ThyssenKrupp Marine Systems.
“Keputusan dilakukan berdasarkan keupayaan terbaik untuk Australia.
“Kami mempunyai jajaran strategik yang rapat dengan Jepun,” kata Marles.
Kapal perang stealth kelas Mogami dilengkapi dengan deretan persenjataan yang berkuasa.
Marles berkata, kapal baharu yang akan beroperasi pada 2030 menggantikan kapal kelas Anzac yang telah usang.
“Kapal kelas Mogami ini adalah kapal terbaik untuk Australia.
“Ia adalah kapal generasi masa depan. Ia bercirikan stealth. Ia mempunyai 32 sel pelancar menegak yang mampu melancarkan peluru berpandu jarak jauh,” kata Marles.
Menteri Industri Pertahanan, Pat Conroy berkata, kapal itu mampu melancarkan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk.
“Pemilikan kapal stealth ini akan menjadikan angkatan tentera laut kita lebih besar dan tentera laut yang lebih baik,” katanya.
Tiga kapal kelas Mogami itu akan dibina di luar negara, kata Conroy manakala bakinya dijangka dibina di Australia barat.
Pada 2021, Australia mengumumkan perjanjian pemerolehan kapal selam nuklear yang direka Amerika Syarikat, membatalkan rancangan membangunkan kapal selam bukan nuklear dengan Perancis. – AFP
















