KUALA LUMPUR – Kementerian Digital melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang membangunkan garis panduan berkaitan Kecerdasan Buatan (AI) yang dijangka siap awal tahun depan iaitu antara Januari hingga Mac.
Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, antara yang sedang disiapkan adalah Garis Panduan Penilaian Impak Perlindungan Data, Garis Panduan Mereka Bentuk Berdasarkan Perlindungan Data serta Garis Panduan Pembuatan Keputusan Individu Secara Automatik dan Pemprofilan.
Dalam masa yang sama katanya, Jabatan Digital Negara telah membangunkan Garis Panduan Pengadaptasian AI di Sektor Awam (GPAISA) bagi menyokong jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan melaksanakan penggunaan teknologi AI secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip tadbir urus serta pematuhan undang-undang dan hak asasi.
“Kerajaan turut melaksanakan program latihan dan peningkatan kapasiti kepada agensi penguatkuasa dan penjawat awam dalam bidang keselamatan siber dan AI melalui ‘AI Untuk Rakyat’ dan program latihan MD Workforce di bawah Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC),” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, CyberSecurity Malaysia juga dalam proses menyediakan plikasi berasaskan AI dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang boleh mengesahkan ketulenan gambar dan video, bertujuan membantu siasatan jenayah siber seperti penipuan dalam talian, pemalsuan identiti dan
penyebaran fitnah digital.
Ujarnya, ia merupakan antara usaha kementerian berkenaan untuk memastikan ekosistem AI yang selamat, bertanggungjawab dan berdaya tahan bagi menangani jenayah penipuan secara menyeluruh.
“Ini seiring dengan hasrat menjadikan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam ekonomi digital dan keselamatan siber,” tambah beliau.
Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), 35,368 kes jenayah siber membabitkan penipuan kewangan dalam talian dilaporkan pada 2024.
Angka tersebut meningkat 2.53 peratus berbanding 2023 dengan kerugian berjumlah RM1.58 billion.
Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2025, Malaysia merekodkan 12,110 kes penipuan dalam talian, melibatkan penipuan seperti tawaran e-dagang palsu, pinjaman palsu, dan skim pelaburan tidak wujud, dengan jumlah kerugian mencecah RM573.7 juta. – MalaysiaGazette
















