Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap pada media berkenaan Majlis Perasmian Penutup i-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 2025 di Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan, Kajang. Foto AIZAT ZAINAL, 5 OGOS 2025.

KAJANG – Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada atau menggubal akta baharu bagi menangani fenomena penjualan dadah secara kecil-kecilan melalui platform dalam talian.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam beberapa siri mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gelaja Dadah yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Dulu kita tidak berdepan dengan kaedah penjualan sebegini. Sekarang pembeli buat tempahan melalui atas talian, jadi kita kena lihat kembali aspek ‘law and regulations’ untuk diteliti dan ditambah baik,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penutup i-Deen Kepulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tahun 2025, hari ini.

Menurut beliau, isu itu melibatkan pelbagai agensi kawal selia kerana kaedah penjualannya kini lebih kompleks.

Misalnya, bekalan dadah berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri, namun jika transaksi dibuat melalui platform atas talian, ia tertakluk pula kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kalau guna platform rasmi seperti Shopee, mungkin mudah dikesan. Tapi kalau guna medium sosial biasa seperti WhatsApp atau Facebook, itu sukar,” katanya sambil menambah elemen penghantaran juga menjadi satu cabaran besar.

Tambah Saifuddin Nasution, trend penjualan dadah secara dalam talian ini dikesan semakin meningkat dan sangat membimbangkan kerana transaksi berlaku secara senyap dan sukar dikesan pihak berkuasa.

“Kita sedar perkara ini. Sebab itu kerajaan sekarang dalam fasa melihat semula undang-undang sedia ada untuk pastikan ia relevan dengan modus operandi terkini,” jelasnya.

Beliau berkata, mesyuarat jawatankuasa Kabinet berkaitan isu dadah itu diadakan sebanyak tiga kali setahun dan mesyuarat terakhir diadakan pada Jun lalu.

Dalam mesyuarat tersebut, cadangan berkenaan dibentangkan dalam bentuk kertas pemakluman.

“Buat masa ini belum dimuktamadkan kerana masih di peringkat perbincangan. Tapi hala tuju kita jelas, sama ada pinda undang-undang sedia ada atau gubal akta baharu khusus untuk tangani kaedah penjualan dadah secara atas talian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast