KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur City FC (KL City) terus berbelanja menjelang sepak mula Liga Malaysia musim 2025/2026 apabila mengikat penyerang berbisa Sri Pahang FC, Kpah Sherman, sekali gus melengkapkan status sebagai pasukan pilihan musim depan.
Selepas mengesahkan kehadiran trio Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipinjamkan ke KL City membabitkan Safawi Rasid, Manuel Hidalgo dan Syamer Kutty Abba, Sherman adalah ayam tambatan terbaru yang berjaya diikat.
Kehadiran pemain import Liberia itu pastinya menambah sengat jentera hadapan skuad The City Boys yang turut mengekalkan penyerang naturalisasi negara, Paulo Josue.

Turut menyertai skuad ibu kota adalah bekas pemain pertahanan Sri Pahang, Azrif Nasrulhaq.
Pengumuman kedua-dua pemain itu dibuat di laman sosial rasmi Facebook kelab itu di sini.
Sebelum ini, kelab Lembah Klang itu turut menerima suntikan berpengalaman di posisi pertahanan apabila bekas rakan pasukan dari Sri Pahang, Adam Nor Azlin dan Syazwan Andik.
KL City yang kini di bawah jurulatih Serbia, Risto Vidakovic sudah mengumumkan kehadiran penjaga gol baharu, Quincy Kammeraad dari Filipina yang pernah menimba pengalaman sekitar Belanda pada awal kariernya. – MalaysiaGazette















