BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memutuskan untuk menceroboh sepenuhnya Jalur Gaza dan memperluaskan operasi ketenteraan di kawasan milik Palestin.
“Keputusan telah diputuskan – kami akan melaksanakan pencerobohan Jalur Gaza sepenuhnya.
“Operasi akan dilakukan di kawasan di mana tahanan ditahan. Jika ketua tentera tidak setuju, dia sepatutnya meletak jawatan,” kata seorang pegawai kanan yang rapat dengan Netanyahu yang dipetik akbar harian, Yedioth Ahronoth.
Saluran 12 Israel melaporkan keputusan tersebut memberi isyarat perubahan dalam strategi Israel di Gaza, dengan operasi dijangka dilakukan di kawasan-kawasan berpendudukan padat, termasuk kem pelarian pusat.
Rangkaian KAN yang memetik Menteri Kabinet yang bertemu Netanyahu baru-baru ini menyatakan pemimpin tersebut memutuskan untuk memperluaskan operasi di Gaza walaupun ditentang pihak keselamatan.
Netahyahu dilapor menggunakan frasa ‘pebcerobohan jalur itu’ untuk menghuraikan matlamat menewaskan Kumpulan Hamas, tambahnya.
Yedioth Ahronoth mendakwa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi ‘lampu hijau’ untuk Netanyahu meneruskan pencerobohan tersebut.
Menurut akhbar itu, para pegawai kanan yang rapat dengan Netanyahu berkata: “Kami sedang bergerak ke hadapan untuk menceroboh Jalur Gaza,” termasuk operasi ketenteraan di kawasan di mana tahanan dipercayai berada.
Sementara itu, Channel 13 melaporkan Ketua Staff, Eyal Zamir membatalkan rancangan untuk melawat Washington berikuran kegagalan rundingan gencatan senjata dan berusaha untuk membesarkan operasi ketenteraan itu.
Pada 29 Julai lalu, akhbar Haaretz melaporkan Netanyahu membentangkan kepada Kabinet Israel mengenai rancangan pencerobohan sebahgaian Gaza yang diluluskan AS.
Semalam, seorang pegawai keselamatan Israel yang tidak mahu dikenali memberitahu KAN bahawa Israel telah membelakangkan perjanjian yang hampir dimuktamadkan untuk membebaskan sebahagian tahanan, menuduh kerajaan Netanyahu meninggalkan rundingan itu dengan segera.
Sumber itu mengakui bahawa Kumpulan Hamas telah melaksanakan beberapa syarat yang dikenakan, ‘jurang itu boleh disambung – Israel mensia-siakan peluang tersebut’.
Netanyahu dituduh memanjangkan peperangan bagi melindungi dirinya.
Menolak gesaan masyarakat antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata, tentera Israel meneruskan serangan ganas ke atas Gaza sejak 7 Oktober 2023, membunuh hampir 61,000 penduduk Palestin, kebanyakan wanita dan kanak-kanak.
Kempen ketenteraan itu menyebabkan berlakunya kebuluran.
Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant kerana jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berhadapan melakukan genosid di Mahkamah Antarabangsa menerusi pencerobohannya di Gaza. – Agensi
















