Tertuduh, Amirul Hamry Hambalyi Azahari, 27, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau pemotong daging, pada kira-kira jam 3 pagi 29 Julai 2025.

MELAKA – Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan pisau di sebuah kedai serbaneka bulan lalu.

Tertuduh, Amirul Hamry Hambalyi Azahari, 27, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Haderiah Siri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau pemotong daging dan melarikan wang tunai sebanyak RM202.80, tiga kotak rokok dan sebuah mesin pengimbas harga.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kedai serbaneka di Jalan Laksamana Cheng Ho 2 dalam daerah Melaka Tengah kira-kira jam 3 pagi 29 Julai 2025.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK) dan dibacakan bersama Seksyen 397 KK yang boleh dihukum dibawah seksyen dan kanun yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan berjumlah RM30,000 beserta syarat tambahan tertuduh melapor diri setiap dua minggu sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM9,000 beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan tarikh 2 September depan untuk serahan dokumen serta melantik peguam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast