Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) perlu mencapai kesepakatan sesama mereka terlebih dahulu bagi membolehkan rundingan berkenaan peruntukan kepada pembangkang diteruskan bersama kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, apa yang berlaku ketika ini, mereka sendiri tidak sepakat apabila ada yang bersetuju dan ada yang menolak untuk berunding dengan kerajaan berhubung perkara tersebut.

Ujar beliau, sekiranya persetujuan sesama ahli Parlimen PN  berjaya dicapai, mereka boleh meneruskan rundingan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang diberi mandat bagi menguruskan soal peruntukan berkenaan.

“Mesti ada kesepakatan antara ahli Parlimen pembangkang terlebih dahulu sebab sekarang belum ada kesepakatan, ada yang nak berunding seorang, ada yang nak berunding berkumpulan.

“Ada yang setuju berunding dan ada yang tidak setuju berunding, jadi saya sarankan ahli Parlimen PN ambil kata sepakat dan kemudian jumpa TPM (Fadillah),” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Anwar (PH-Tambun) menjawab soalan yang dibangkitkan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) berhubung kesediaan kerajaan memberikan peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang iaitu sebagai satu bentuk keadilan dalam negara susulan kejayaan Malaysia menjadi pendamai dalam perang antara Kemboja dan Thailand.

Sementara itu, berhubung isu sama, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin ketika bertanyakan soalan tambahan turut menegaskan beliau bersedia berjumpa Anwar hari ini juga bagi membincangkan mengenai soal peruntukan tersebut.

Namun Anwar mengulangi yang mana soal berkenaan peruntukan itu sudah diserahkan kepada Fadillah yang mengetuai proses rundingan bersama pembangkang.

“Tetapi untuk berbincang hal-hal lain, saya tidak ada keberatan untuk berjumpa dengan Ketua Pembangkang,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan menggesa Kerajaan Persekutuan segera membuka meja rundingan secara rasmi berhubung isu peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang yang sehingga kini belum ada penyelesaian.

Menurut Takiyuddin, surat menyatakan hasrat untuk berbincang dihantar kepada Fadillah Yusof sejak 14 Mac lalu namun hanya dibalas selepas beliau membuat kenyataan media mendesak penjelasan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast