KUALA LUMPUR – Bekas aktivis mahasiswa dan peguam muda, Asheeq Ali Sethi Alivi, kini secara rasmi dilantik sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Wilayah Persekutuan bagi penggal 2025 – 2028.
Pelantikan itu hadir tidak lama selepas kemenangan beliau dalam saingan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Keadilan Batu pada pemilihan parti itu selepas menewaskan penyandang jawatan, P Prabakaran.
Asheeq memperoleh 946 undi berbanding 793 undi sekali gus mencatat majoriti kemenangan sebanyak 153 undi.
Dengan pelantikan tersebut, Asheeq kini menggalas tanggungjawab lebih besar dalam struktur kepimpinan sayap pemuda parti khususnya dalam merancang dan memobilisasi kekuatan anak muda di ibu negara.
Dalam satu kenyataan susulan pelantikannya, Asheeq menyatakan penghargaan kepada kepimpinan pusat AMK atas kepercayaan yang diberikan.
“Saya berterima kasih kepada pimpinan AMK Pusat terutamanya saudara Kamil Munim, Ketua Angkatan Muda Keadilan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan.
“Saya bersama pasukan AMK Wilayah Persekutuan yang baru akan bertungkus lumus untuk memastikan Wilayah Persekutuan kekal menjadi kubu kuat Keadilan menjelang Pilihan Raya Umum yang akan datang,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Asheeq dikenali ramai sebagai tokoh mahasiswa yang lantang memperjuangkan isu-isu kebebasan akademik dan hak asasi sebelum menyertai PKR pada tahun 2021.
Sejak itu, beliau aktif memegang pelbagai peranan dalam parti dan terus menyerlah sebagai pemimpin muda berpotensi.
Pelantikan beliau sebagai Ketua AMK Wilayah dilihat sebagai sebahagian daripada usaha pembaharuan dalam barisan pelapis PKR yang lebih segar dan progresif. -MalaysiaGazette
















