Ngeh Koo Ham

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham hari ini menegur sikap beberapa ahli Parlimen yang masih memainkan sentimen perkauman dalam perbahasan Parlimen khususnya melibatkan masyarakat Cina dan kewujudan kampung-kampung Cina.

Berucap dalam perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, beliau menegaskan, sudah tiba masanya Malaysia bergerak ke hadapan dengan meninggalkan politik sempit yang berasaskan kaum dan menumpukan kepada keadilan sosial untuk semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Kita sering dengar ucapan yang membayangkan masyarakat Cina seolah-olah diutamakan atau mendapat kelebihan atau kononnya kampung Cina dibangunkan lebih baik. Ini satu naratif yang tidak adil dan merosakkan semangat perpaduan,” katanya.

Pemimpin DAP itu menekankan kemiskinan dan keperluan pembangunan wujud dalam semua komuniti baik di kampung Melayu, kampung Cina, mahupun kampung India dan kerajaan wajar memberi bantuan berdasarkan keperluan, bukan kaum.

Beliau turut memuji pendekatan inklusif Kerajaan Madani yang menurutnya telah melaksanakan pelbagai dasar kebajikan tanpa diskriminasi kaum, termasuk bantuan makanan, bantuan tunai serta sokongan pendidikan kepada semua rakyat Malaysia.

“Kerajaan Madani sedang berusaha keras untuk menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh. Kita sebagai Ahli Parlimen bertanggungjawab memupuk perpaduan bukan menambah jurang melalui sentimen kaum yang sempit,” tegasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast