KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (Pakatan Harapan) mengesyorkan kerajaan menetapkan 10 peratus daripada peruntukan untuk golongan Bumiputera menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan belanjawan setiap tahun diberikan kepada golongan bukan Bumiputera.
Bekas Menteri Kewangan itu berkata, ini kerana peruntukan untuk golongan bukan Bumiputera yang diberikan setiap tahun hanya tiga peratus.
“Sebenarnya peruntukan yang diberikan kepada golongan bukan Bumiputera di bawah belanjawan setiap tahun hanya sekadar tiga peratus daripada apa yang diberikan kepada golongan Bumiputera. Adakah peruntukan ini menunjukkan golongan bukan Bumiputera atau golongan Bumiputera yang diabaikan?
“(Jadi) Saya ingin mengesyorkan agar RMK-13 dan setiap belanjawan menetapkan 10 peratus daripada apa yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera diberikan kepada golongan bukan Bumiputera,” katanya ketika membahaskan RMK-13 di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, ia sekaligus menidakkan dakwaan seorang ahli pembangkang bahawa kerajaan gagal memelihara nasib Bumiputera.
Dalam masa yang sama beliau berharap agar Speaker Dewan Rakyat mengenakan tindakan terhadap Ahli Parlimen yang membuat dakwaan tersebut.
“Ada seorang Ahli Pembangkang cuba memainkan sentimen perkauman berbahaya bila membuat ancaman tragedi 13 Mei akan berulang kerana membuat fitnah tidak berasas bahawa kepentingan golongan Bumiputera tidak dipelihara dan gagal dibela, berbanding dengan golongan bukan Bumiputera.
“Saya harap mereka yang membakar sentimen perkauman, terpulang kepada Speaker untuk ambil Tindakan sewajarnya kerana ia sememangnya tindakan hasutan,” tegasnya.
Isnin yang lalu, Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Solahuddin Hashim (Perikatan Nasional) membangkitkan mengenai rusuhan kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 sambil mengaitkannya dengan dakwaan RMK-13 mengetepikan kepentingan Bumiputera.
Awang ketika mencelah semasa ucapan perbahasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa RMK13 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu tidak memberi tumpuan kepada pembangunan untuk Bumiputera, sebaliknya memberi perhatian kepada perkampungan baharu Cina.
Kenyataannya kemudian mencetuskan ketegangan dan dibantah oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (Pakatan Harapan).-MalaysiaGazette
















