KUALA LUMPUR – Kenyataan-kenyataan yang mendesak supaya Datuk Dr Akmal Saleh memohon maaf kepada komuniti orang kurang upaya (OKU) adalah contoh bagaimana politik identity dimainkan untuk meraih simpati murahan dan menutup isu pokok yang lebih besar.
Sedangkan, kenyataan Ketua Pemuda UMNO itu jelas satu sindiran terhadap segelintir individu atau pihak yang berpura-pura tidak faham isu asas walaupun berulang kali dijelaskan.
Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Zuhir Ghazali berkata, Akmal tidak menyasarkan komuniti OKU secara langsung tetapi menggunakan perumpamaan secara metafora untuk mengkritik keengganan memahami fakta secara jujur.
“Dalam wacana politik, analogi dan gaya bahasa sindiran adalah lumrah.
“Jika semua bentuk analogi akan ditafsir secara literal dan disensasikan, maka ruang wacana politik akan jadi beku, sempit dan terlalu bersifat ‘overcorrect political niceness,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Muhammad turut mendakwa pihak yang menuduh tidak sensitif terhadap OKU sendiri gagal menunjukkan rekod konsisten dalam memperjuangkan hak-hak golongan tersebut secara dasar dan berstruktur.
“Di mana suara mereka ketika Akta OKU ditangguhkan pelaksanaannya? Di mana desakan mereka ketika fasiliti awam tidak mesra OKU.
“Tiba-tiba hari ini, satu kuasan telah di’spin’ kononnya mewakili solidariti,.
“Maaf cakap, ini bukan perjuangan, ini manipulasi emosi rakyat yang paling malas dan murahan. Dan lebih hina lagi bila guna nama golongan rentan sebagai perisai politik,” ujar beliau lagi.
Oleh itu, tegas beliau, Akmal tidak perlu minta maaf atas perkara yang tidak dilakukan.
Yang patut minta maaf adalah mereka yang sanggup jual maruah OKU demi kepentingan parti politik sendiri.
Wan Muhammad mendakwa ramai yang keliru, bahkan sengaja mengelirukan sedangkan isu sebenar yang dibangkitkan oleh Akmal adalah mengenai kelesuan hujah dan keengganan menjawab isu sebenar secara berfakta.
“Kata-kata Akmal di’spin’ dijadikan alat serangan kononnya menghia komuniti OKU padahal konteksnya kritikan terhadap sikap berpura-pura tidak faham.
“Inilah wajah politik DAPSY, bila tak boleh patahkan logik, air mata digunakan.
“Dan kalua betul rasa diri masih waras, berhentilah berpura-pura “tak faham Bahasa kiasan”.
“Kalau itu pun susah, mungkin kad OKU memang perlu,” katanya penuh sinis. – MalaysiaGazette
















