InvestKL

KUALA LUMPUR – InvestKL berjaya menarik komitmen pelaburan sebanyak RM2.8 bilion pada separuh pertama tahun 2025.

Ia turut melibatkan penubuhan lima hab serantau baharu di Greater Kuala Lumpur dan mewujudkan 1,197 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Pencapaian tersebut mengukuhkan kedudukan Greater KL sebagai destinasi strategik bagi syarikat global yang melabur dalam perkhidmatan bernilai tinggi dan berasaskan inovasi – satu tonggak utama dalam strategi Malaysia untuk daya tahan ekonomi jangka panjang.

InvestKL dalam kenyataannya berkata, pelaburan baharu itu merangkumi sektor infrastruktur IT, penjagaan kesihatan pengguna, sains bahan, perkhidmatan aset kewangan, dan tenaga boleh diperbaharui.

Hab-hab tersebut katanya, akan menjadi platform untuk pertumbuhan serantau, seterusnya memajukan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai perkhidmatan global.

Penubuhan hab serantau baharu itu merangkumi Pusat Kecemerlangan Mainframe oleh penyedia perkhidmatan infrastruktur IT terbesar dunia, menyokong sistem kritikal merentas sektor utama;hab Perkhidmatan Perniagaan Global oleh sebuah kumpulan penjagaan kesihatan terkemuka, bagi menyelaraskan operasi di seluruh Asia Tenggara.

Ia juga melibatkan penubuhan hab Serantau Pelbagai Fungsi oleh peneraju global dalam sains bahan dan ID digital, memacu inovasi pembuatan dan rantaian bekalan termaju; serta Pusat Kecemerlangan yang menawarkan perkhidmatan aset, pematuhan dan sokongan IT oleh sebuah penyedia perkhidmatan kewangan utama; dan Hab Perkhidmatan Global berasaskan digital oleh syarikat tenaga boleh diperbaharui terkemuka, memacu transformasi hijau dan kelestarian serantau.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Muhammad Azmi Zulkifli pelaburan tersebut menunjukkan keyakinan yang berterusan terhadap asas kukuh Malaysia.

Ia juga merupakan satu pencapaian penting dalam meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan di rantau ini.

“Apabila syarikat global menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran – termasuk penjajaran semula perdagangan dan kenaikan tarif – Greater KL menawarkan ekosistem yang bersedia untuk masa depan, disokong oleh infrastruktur kukuh, bakat bertaraf dunia, dan sokongan proaktif kerajaan.

“Kami juga melihat momentum kukuh dalam pelaburan berasaskan AI, digital dan teknologi – bukti kepada fokus strategik Malaysia terhadap aktiviti bernilai tinggi dan dipacu inovasi, yang akan memastikan daya saing dan ketahanan ekonomi jangka panjang,” katanya.

Sebanyak 1,197 pekerjaan baharu ini merangkumi peranan serantau, pakar dan sokongan, dengan purata gaji eksekutif melebihi RM11,700 sebulan.

Pencapaian ini menjadikan jumlah keseluruhan InvestKL kepada lebih 150 hab perkhidmatan global dan 31,000 pekerjaan berkemahiran tinggi sejak penubuhannya, sejajar dengan Kerangka Ekonomi Madani, Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), NIMP2030, serta Rancangan Malaysia Ke-12 dan Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan datang – kesemuanya menekankan pertumbuhan berasaskan perkhidmatan, inovasi dan pembangunan inklusif. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast