BUKIT MERTAJAM – Lima kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah di Sarawak kini menanti sumbangan orang ramai bagi membolehkan mereka menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.
Kesemua mereka disahkan menghidap penyakit jantung berlubang serta mengalami kecacatan pada septum atrium dan masalah injap jantung tidak normal yang memerlukan rawatan segera.
Bagi tujuan itu, badan amal One Hope Charity & Welfare melancarkan kempen mengumpul dana berjumlah RM265,000 bagi menampung kos rawatan mereka.
Pengerusinya, Datuk Chua Sui Hau berkata, dana itu diperuntukkan kepada lima pesakit cilik masing-masing dari kawasan pedalaman Sarawak yang dikenal pasti tidak berkemampuan serta sukar mengakses rawatan pakar.
Mereka ialah Jordan Anak Allan, 1, (RM50,000), Vervielyn Anak Ady, 6, (RM65,000), Arthur Erang Hendry Tajang, 7, (RM50,000) serta masing-masing lapan tahun, Aniq Razin Hafeezy (RM50,000) dan Qayra Shazreen Mohamad Zuladharin (RM50,000).

“Keluarga mereka terdiri daripada buruh kasar, mekanik, operator kilang dan suri rumah yang hanya bergantung kepada pendapatan kecil untuk menyara kehidupan harian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, terdapat dalam kalangan mereka yang tidak memiliki kenderaan dan bergantung kepada ihsan jiran untuk membawa anak ke hospital.
“Lebih membimbangkan, setiap kes memerlukan pembedahan segera kerana masalah jantung yang dihidapi berisiko mengancam nyawa sekiranya tidak dirawat dalam masa terdekat.
“Justeru kita berharap orang ramai membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban keluarga berkenaan dan memberi harapan baharu kepada anak-anak tersebut,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan derma, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau menerusi laman web rasmi www.onehopecharity.org.
Bagi pertanyaan lanjut, sila hubungi talian hotline 04-539 9212, 016-4192 192, 019-2322 192 atau 018-911 4192. – MalaysiaGazette















