Mayat wanita dan anaknya telah dihantar ke rumah mayat Hospital Besar Klang untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

KUALA LUMPUR – Mayat seorang wanita serta anak perempuannya yang berusia tiga tahun ditemukan terapung berhampiran Jeti Pulau Ketam dekat Klang, pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, penemuan itu disedari seorang lelaki tempatan yang terlihat seorang kanak-kanak terapung di laut sebelum bertindak menyelamatkannya dengan bantuan beberapa orang awam.

Kejadian itu berlaku pada jam 7.30 pagi.

Bagaimanapun, sebaik dibawa naik ke jeti, kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia oleh petugas Klinik Kesihatan Pulau Ketam yang tiba di lokasi bersama anggota polis.

“Tidak lama selepas itu, mayat seorang wanita dewasa turut ditemukan terapung di kawasan berhampiran yang mana dia turut disahkan meninggal dunia sejurus dibawa naik ke jeti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamalariffin berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menemukan sebuah beg mengandungi dokumen dipercayai milik kedua-dua mangsa.

Menurutnya, mangsa adalah wanita tempatan berusia 41 tahun manakala anak perempuannya tiga tahun.

“Pemeriksaan awal oleh Unit Forensik, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuh kedua-dua mangsa.

“Kedua-dua mayat kemudian dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses bedah siasat,” tambahnya.

Setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau hadir ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast