KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menggugurkan tujuh pertuduhan yang dihadapinya.
Representasi tersebut merupakan yang pertama dikemukakan oleh bekas Perdana Menteri sejak beliau didakwa bagi semua pertuduhan itu.
Muhyiddin didakwa atas empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan suapan berjumlah RM232.5 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan RM200 juta.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pihaknya sedang meneliti representasi yang dihantar bulan lalu sebelum pertimbangan dibuat sama ada untuk menerima atau menolaknya.
Beliau menyatakan demikian ketika ditanya Hakim K. Muniandy sama ada pihak pendakwaan ada menerima representasi daripada tertuduh dan statusnya.
Sementara itu, peguam Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memaklumkan, pihak pembelaan berharap representasi itu dipertimbangkan secara objektif.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Oktober ini untuk sebutan kes.
Hari ini ditetapkan untuk sebutan kali pertama selepas kes itu dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi. Bagaimanapun, pertuduhan belum dibacakan semula terhadap Muhyiddin.
Sementara itu, Wan Shaharuddin memaklumkan, pihaknya sudah memfailkan notis rayuan untuk merayu perpindahan kes itu ke Mahkamah Tinggi dan pengurusan kes ditetapkan pada 29 September ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, pihak pendakwaan belum memuktamadkan untuk meneruskan rayuan atau sebaliknya.
“Kami memohon pertuduhan dibacakan semula terhadapnya. Bagaimanapun, saya memohon arahan lanjut mahkamah,” ujar Wan Shaharuddin.
Pada peringkat itu, Hakim Muniandy mencadangkan supaya pihak pendakwaan memuktamadkan terlebih dahulu sama ada mereka mahu meneruskan rayuan di Mahkamah Rayuan.
“Jika rayuan tidak diteruskan, semua pihak akan kembali ke Mahkamah Tinggi dan pertuduhan dibaca semula terhadap tertuduh,” ujar hakim berkenaan.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, Muhyiddin selaku Perdana Menteri ketika itu dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu, Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd bagi manfaat kepada parti tersebut.
Bagi pertuduhan kelima hingga ketujuh, beliau didakwa menerima wang berjumlah RM200 juta yang merupakan hasil aktiviti haram daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank dan AmBank milik Bersatu. – MalaysiaGazette
















