Seorang pelajar UPM menerangkan produk pertanian cendawan kepada Mustapha.

KUALA LUMPUR – Seramai 20 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan kursus jangka pendek program pemindahan ilmu tanaman dan ternakan bersama komuniti di Sepanggar, Sabah baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata, kumpulan pelajar UPM itu mengajar teknik ternakan udang kara air tawar, teknik menanam cendawan tiram, pembuatan baja kompos, teknik penanaman pokok durian Musang King dan pokok mangga kepada komuniti yang hadir.

Katanya, kumpulan pelajar terlatih UPM tersebut terdiri daripada Jemaah Presiden UPM yang merupakan presiden-presiden persatuan setiap anak negeri dan diketuai oleh Pengerusi Persatuan Mahasiswa Sabah.

“UPM berharap dengan membawakan kepakaran pertanian merentasi Laut Cina Selatan ke Sabah, dapat menyokong agenda keterjaminan makanan yang boleh memberi impak lestari kepada rakyat Sabah secara bersiri selepas ini.

“UPM mempunyai tanggungjawab berat untuk memartabatkan sektor pertanian negara dalam menyokong negara berhadapan dengan masalah hasil pengeluaran pertanian yang rendah dan peningkatan bekalan import makanan asas dari negara luar,” katanya di sini.

Program Jelajah Pendidikan Tinggi Untuk Komuniti di Sabah Siri Kedua itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud supaya komuniti Sepanggar memperoleh perkongsian ilmu dan kepakaran daripada beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang hadir.

Sementara itu Mustapha berkata, usaha Kementerian Pendidikan Tinggi dan beberapa IPTA membolehkan kepakaran dalam kampus tidak terpinggir dan sampai ke akar umbi untuk pembangunan komuniti.

“Masyarakat di Sepanggar perlu merebut peluang bimbingan dan perkongsian ilmu dari tenaga pakar IPT untuk kemajuan rakyat Sabah,” katanya dalam program di Sekolah Kebangsaan Kokol, Sepanggar, Sabah.

Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman, Jabatan Pendidikan Tinggi dan Universiti Malaysia Sabah selaku penganjur utama, UPM, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kolej Komuniti Penampang dan Kolej Komuniti Papar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast