Nur Syazeera Abdullah

JOHOR BAHRU – Puteri UMNO Johor selar tindakan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kenyataan biadab seorang pemimpin pemuda parti itu yang merendahkan martabat pemimpin wanita dengan lembu betina.

Ketua Penerangan Puteri UMNO Johor, Nur Syazeera Abdullah berkata, tindakan itu amat memalukan malah tidak selari dan berlawanan dengan perjuangan parti tersebut yang mendakwa berteraskan Islam.

“Pemimpin Pas yang membawa imej Islam tidak wajar mengeluarkan kenyataan biadab dan merendahkan martabat wanita sebagai seorang pemimpin.

“Dalam al-Quran, surah An-Naml ada menceritakan tentang Ratu Balqis, pemimpin Kerajaan Sa’ba yang menjadi bukti wanita juga dapat menjadi pemimpin yang adil dan bijaksana.

“Pas tidak seharusnya memandang rendah terhadap pemimpin wanita. Nasihat saya Pas jangan sesekali menyamakan pemimpin wanita dengan binatang,” katanya dalam kenyataan.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi menerusi hantaran dalam media sosial menekankan kepentingan kepimpinan lelaki dalam masyarakat, sambil memberikan analogi berdasarkan pengalamannya menternak lembu selama lebih setahun.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian dalam menguruskan ternakan, lembu betina sering memimpin kumpulan ternakan tersebut termasuk menentukan lokasi meragut, masa berehat dan waktu pulang manakala lembu jantan hanya berperanan menjaga keselamatan kawanan.

Susulan kenyataan itu, pengasas Pertubuhan Kebajikan Bidadari Malaysia, Napsiah Khamis Maharan mengecam Muhammad Salman dan menyifatkan kenyataan tersebut sebagai seksis, biadab serta mencerminkan pemikiran mundur yang membahayakan kemajuan masyarakat.

Semalam, Tuan Ibrahim mempertahankan Muhammad Salman itu dan berkata, kenyataan itu perlu difahami sebagai satu bentuk analogi biasa dalam penulisan dan bukannya bertujuan menghina wanita.

Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin pula menegaskan kenyataan Salman itu merupakan pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Pas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast