Wilfred
Ahli Parlimen Tuaran, Wilfred Madius Tangau

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau hari ini membangkitkan isu ketidakseimbangan pembangunan antara Semenanjung Malaysia dan Sabah meskipun negeri itu menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara khususnya dalam sektor perikanan dan pertanian.

Beliau menyatakan sejak Sabah menyertai Malaysia pada 1963, harapan rakyat untuk mengecapi pembangunan seperti yang dilihat di Kuala Lumpur ketika itu.

“Sabah menyumbang besar daripada pengeluaran minyak sawit negara dan serta pengeluaran ikan, tetapi kuasa membuat dasar masih dimonopoli Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berbahas Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Menurutnya, masalah utama adalah kegagalan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan negeri dari segi dasar, bajet serta pelaksanaan projek.

Tambah beliau, kelemahan dalam struktur tadbir urus serta ketiadaan kuasa autonomi dalam sektor perikanan telah mengakibatkan produktiviti Sabah terbantut walaupun negeri itu kekal sebagai pengeluar utama hasil laut negara.

Sementara itu, kata Wilfred lagi, walaupun Sabah berpotensi menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara, namun usaha itu terhalang oleh birokrasi persekutuan dan kelewatan pembangunan infrastruktur asas.

Beliau turut mencadangkan penubuhan Majlis Kebangsaan khusus bagi pertanian, perikanan dan penternakan yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dengan keanggotaan Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak bagi menyelaras pembangunan sektor strategik ini.

“Jika kita benar-benar mahu melonjakkan Malaysia menjadi ekonomi ke-30 terbesar dunia, Sabah tidak boleh terus dipinggirkan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast