KUALA LUMPUR – Salah seorang saksi penting pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng cedera diserang 10 individu dalam kawasan rumahnya di Petaling Jaya dekat sini hari ini.
Menurut sumber, ahli perniagaan itu mengalami kecederaan di bahagian mulut dan pergelangan tangan manakala dua pengawal keselamatannya diikat oleh penyerang tersebut.
Beliau merupakan salah seorang saksi penting pendakwaan pada perbicaraan terhadap bekas Ketua Menteri Pulau Pinang di Mahkamah Sesyen di sini.
Sumber berkenaan berkata, beliau menerima panggilan telefon daripada ahli perniagaan itu pagi tadi memaklumkan kejadian tersebut.
“Lelaki berkenaan mendakwa beliau turut diberi amaran `Jangan jadi hero, duduk rumah diam-diam’,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mengetuai pasukan pendakwaan kes tersebut ketika ditemui pihak media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur mengesahkan insiden itu.
Beliau memberitahu akan membawa perkara tersebut di hadapan hakim bersidang pada tarikh perbicaraan yang dijadualkan pada 19 Ogos ini. – MalaysiaGazette
















