MELAKA – Perbuatan keji seorang bapa yang sanggup menjadikan darah daging sendiri sebagai pemuas nafsu selama 10 tahun akhirnya terbongkar minggu lalu.
Mangsa menjadi mangsa perbuatan terkutuk itu sejak berusia lapan tahun.
Ia terbongkar selepas anak sulung perempuan itu yang kini berusia 18 tahun menceritakan kejadian menimpanya kepada ibunya yang juga kemudian menjadi pengadu ke di Tambak Paya di sini pada 1 Ogos lalu.
Kedua ibu bapanya kini berusia 41 tahun.
Menurut sumber, mangsa yang sudah bekerja itu mendakwa, sebelum ini dia terpaksa merahsiakan perkara itu kerana suspek yang bekerja sebagai mekanik itu selalu mengugut untuk memukulnya.
Suspek juga mengugut mahu cuba merogol adik-adiknya yang lain jika mangsa mendedahkan perkara itu kepada ibunya.
“Bagaimanapun perbuatan keji bapanya itu terbongkar Jumaat lalu apabila suri rumah berkenaan menceritakan kepada mangsa, bapanya tidak lagi memberikannya duit belanja anak-anak dan dia terpaksa keluar dari rumah membawa bersama lima adik-adik mangsa.
“Ibu mangsa meminta mangsa untuk terus tinggal dengan suspek dan ketika itulah mangsa menangis menceritakan dia tidak sanggup lagi menjadi pemuas nafsu bapanya yang telah merogolnya sejak usia lapan tahun,” katanya.

Mangsa kemudian mendakwa, kejadian terbaru berlaku pada kira-kira 9 malam pada 2 Ogos lalu apabila suspek sekali lagi merogolnya di dalam bilik di rumah mereka ketika ibunya sedang berkemas untuk melarikan diri bersama lima adiknya.
“Pada 3 Ogos lalu, pengadu membawa kesemua enam anaknya ke Kuala Lumpur menumpang sementara di rumah adik beradik wanita itu sebelum membuat laporan polis pada hari yang sama.
“Pengadu mendakwa, suaminya juga selalu memukul anak-anaknya sehingga menyebabkan mereka cedera parah namun tiada membuat laporan polis kerana telah diugut oleh suspek,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar ketika dihubungi MalaysiaGazette mengesahkan kes itu dan pihaknya telah memberkas suspek yang kini direman selama tujuh hari.
“Perintah reman bermula semalam sehingga 11 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan,” katanya. – MalaysiaGazette
















