JASIN – Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki
yang menunjukkan kemaluannya kepada orang ramai di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jasin Bestari di sini bulan lalu.
Tertuduh pemandu lori, K Krishnamorthy, 66, mekanik, Mohd. Azmi Mohd. Nor, 34, dan pekerja pasar raya, M. Yogesvaran, 25, bagaimanapun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mazana Sinin.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa bagi mencapai niat bersama telah melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas K.Gunalan, 52.
Perbuatan itu dilakukan di tempat letak kereta depan Tadika Junior Q Bestari, Bandar Jasin Bestari dalam daerah Jasin, antara pukul 7.37 petang sehingga 8.59 malam 27 Julai lalu.
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan, manakala tertuduh diwakili Peguam Amritpal Singh, Datuk Shashi Kumar Kannan dan Mathan Anandaram.
Mahkamah menetapkan tarikh 8 September depan sebagai sebutan semula kes.
MalaysiaGazette pada 28 Julai lalu melaporkan eorang lelaki maut dipercayai dibelasah sekumpulan individu selepas menunjukkan kemaluannya kepada orang ramai.
Mangsa kemudian melarikan diri ke arah bangunan kedai berhampiran namun terus dikejar dan dipukul sehingga ke kawasan semak dan mangsa turut berenang merentasi sungai terletak kira-kira 200 meter dari lokasi pertama.
Si pelaku kemudian telah meminta bantuan orang ramai di situ sebelum beberapa individu lagi memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki sehingga lelaki itu meninggal dunia serta merta di lokasi.
Susulan maklumat kejadian yang diterima pukul 9.30 malam, polis berjaya menahan tujuh suspek lelaki berumur antara 20 hingga 50 tahun termasuk seorang warga Pakistan yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
Terdahulu, tular penemuan mayat seorang lelaki yang didakwa menjadi mangsa pembunuhan di Jasin Bestari. – MalaysiaGazette
















