Mohd Faiz (kiri) dan Noorman menunjukkan kenyataan berkenaan caregiver yang dimonopoli warga asing selepas sidang akhbar di Taman Daya, Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia dan Filipina dikesan bekerja sebagai caregiver atau pengasuh di hospital-hospital kerajaan di negeri ini.

Perkembangan membimbangkan dan boleh dilihat sebagai PATI yang tidak mempunyai kelayakan memonopoli profesion baharu tersebut di hospital-hospital kerajaan.

Mereka memberikan khidmat sebagai caregiver terutama di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) di bawah syarikat tempatan dengan bayaran yang murah.

Keadaaan tersebut menjejaskan peluang graduan kejururawatan tempatan dan pusat-pusat jagaan tempatan untuk menyediakan perkhidmatan caregiver.

Pengusaha Pusat Jagaan Warga Emas Bayu, Muhd Faiz Azizi berkata, tidak ramai yang sedar atau mengetahui wujudnya caregiver yang biasanya khidmat mereka diberikan di hospital atau di rumah.

“Caregiver adalah satu profesion baharu dalam bidang perubatan yang popular di luar negara atau negara maju. Khidmat mereka diperlukan dalam menjaga pesakit terlantar terutamanya warga emas atau pesakit kronik yang memerlukan jagaan dan ahli keluarga tidak ada masa atau tidak dapat memberi komitmen memberi penjagaan penuh.

“Tugas caregiver adalah bagus sebab banyak kurangkan beban jururawat jaga pesakit tetapi mesti dengan cara yang betul,” katanya dalam sidang akhkbar di Taman Daya hari ini.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati khidmat PATI sebagai caregiver banyak digunakan di hospital kerajaan atau swasta di Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, caregiver yang digajikan majikan tempatan menawarkan bayaran rendah RM10 untuk satu jam berbanding graduan kejururawatan tempatan atau jururawat RM25 sejam.

Jelasnya, terdapat risiko menggunakan khidmat caregiver warga asing itu yang difahamkan hanya diberikan kursus selama dua hari untuk mengendalikan pesakit.

“Khidmat caregiver warga asing ini tidak mempunyai kelayakan sebenar tanpa latar belakang kesihatan, tanpa latihan sah dan paling membimbangkan tanpa dokumen sah.

“Fenomena ini berlaku secara senyap tetapi sistematik. Dengan bayaran antara RM100 hingga RM180 sehari, PATI dari Indonesia, Filipina, Myanmar dan Vietnam menjadi caregiver separa tetap di wad-wad hospital tanpa sebarang pemantauan sah daripada pihak hospital atau Kementerian Kesihatan (KKM).

“Apa yang menyedihkan graduan kejururawatan menganggur, dalam masa sama berpuluh ribu lepasan diploma dan ijazah kejururawatan dari kolej swasta dan awam terpaksa menunggu hingga satu hingga dua tahun untuk penempatan kerja.

“Sebahagian besar daripada mereka bergantung kepada panggilan kontrak KKM yang datang tanpa jangka masa yang pasti. Sebahagian lagi cuba mencari kerja sambilan tetapi kekurangan peluang kerana sektor hospital swasta hanya mengambil jururawat berpengalaman dan hospital kerajaan pula telah ‘dipenuhi’ dengan caregiver tidak rasmi,” dakwanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), Noorman Kamsari menggesa pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan terhadap isu tersebut.

Noorman berkata, masalah tersebut perlu dibanteras segera sebelum menjadi lebih kronik kerana turut melibatkan isu keselamatan dan kelayakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Ya itu benar, tapi cuba you selidik kenapa orang lebih suka mengambil PATI in jaga pesakit mereka, yang tempatan yang kerja di hospital cuma duduk kaunter, berwayang kulit dan berokestra keroncong, bila di tanya, jawabnya ‘tak. Tau lah’. Yang ini tak apa biasa lah. Lagi satu bila admit cuma sakit sedikit tapi bila keluar ada Stage 3 bedsore? you siasat dulu

Comments are closed.