Tan Sri Azam Baki menerima kunjungan hormat delegasi AKPS diketuai Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain. foto SPRM

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menjalinkan kerjasama strategik bersama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) khususnya melibatkan aspek operasi serta latihan membabitkan pegawai agensi tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, AKPS merupakan sebuah agensi baharu yang memainkan peranan penting dalam aspek keselamatan negara, justeru SPRM bersedia memberikan bantuan sepenuhnya dalam memastikan matlamat bersama dicapai.

“SPRM memberi sokongan dan komitmen sepenuhnya untuk bekerjasama dengan AKPS dalam usaha meningkatkan tahap integriti serta usaha mencegah jenayah rasuah berlaku di pintu sempadan negara.

“Ini amat penting kerana AKPS adalah sebuah agensi yang memainkan peranan dalam memastikan keselamatan pintu sempadan sentiasa terkawal demi keselamatan negara.

“Saya sedar ada beberapa isu melibatkan AKPS sememangnya telah berada dalam radar SPRM, namun penyelesaiannya agak mencabar. Dengan kerjasama yang bakal dijalinkan ini, kita yakin urusan tertangguh dapat diselesaikan dengan lebih lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Azam turut mencadangkan agar satu bentuk insentif diperkenalkan kepada pegawai AKPS yang bertugas di sempadan sebagai dorongan dan motivasi untuk menjalankan tugas dengan lebih bersemangat serta berintegriti tinggi.

“SPRM menyokong penuh cadangan ini kerana insentif mampu menjadi pemangkin semangat dan pada masa sama dapat mengekang sikap sambil lewa dalam kalangan petugas barisan hadapan di sempadan negara,” katanya.

Terdahulu beliau menerima kunjungan hormat Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Shuhaily dalam kenyataan berkata, pertemuan itu menjadi platform penting untuk kedua-dua pihak bertukar pandangan berkenaan langkah-langkah operasi, pencegahan rasuah serta usaha meningkatkan integriti dalam kalangan pegawai yang bertugas di kawasan sempadan negara.

“Kerjasama ini diharap dapat memperkukuh lagi sistem kawalan sempadan dan membentuk barisan pegawai yang lebih berintegriti dalam melaksanakan tugas,” katanya.

Turut hadir Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus; Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) AKPS, Datuk Sazali Mohamad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AKPS, Ismail Mokhtar. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast