KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan bayaran pencen secara bulanan kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) petanda kerajaan telah kehabisan sumber dana kerana gagal menguruskan hasil negara dengan baik, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, cadangan itu juga menunjukkan bahawa kerajaan kini bergantung dengan ‘poket rakyat’ semata-mata untuk membiayai perbelanjaan negara.
“Saya dengar ada cadangan untuk menghadkan pengeluaran KWSP kepada bayaran bulanan selepas tempoh persaraan dan ini satu perkara yang amat membimbangkan,” katanya ketika sesi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.
Muhyidddin berkata, hutang negara dijangka bakal mencecah sehingga RM2 trillion sekiranya kerajaan meningkatkan perbelanjaan berdasarkan pengumuman peruntukan RM430 billion untuk RMK-13.
“Kita tahu unjuran hasil negara hampir sepenuhnya dihabiskan untuk perbelanjaan mengurus, adakah kerajaan akan membiayai RMK13 dengan hutang baharu yang akan terus menambah beban fiskal negara?
“Hari ini hutang negara telah mencecah RM1.5 trillion dengan liabiliti luar jangka melebihi RM384 billion,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan mekanisme yang akan digunakan oleh kerajaan untuk membayar hutang negara.
“Persoalannya, apakah pelan bayar balik hutang ini? Apakah asset negara akan dicagar atau dijual kepada pihak luar? Apakah dana strategik negara akan dijadikan sasaran mudah?,” soalnya lagi.-MalaysiaGazette
















