BALIK PULAU – Seorang pekerja kilang tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh masuk rumah milik seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Choii pada Isnin lalu.
Tertuduh, Noor Mohafiril Mohamad, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ching.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki rumah milik Muhammad Faris Azri Md Hanif dengan niat menggusarkan penghuni rumah berkenaan.
Lelaki yang masih bujang itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah di Lorong Kekabu 2, Bayan Lepas di sini pukul 6.55 pagi pada 4 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani mencadangkan jaminan berjumlah RM5,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam, Edmund Anthony Hermon dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan minima atas alasan lelaki itu merupakan pekerja kilang dengan pendapatan bulanan RM2,000 selain perlu menyara kedua ibu bapanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin tempatan serta menetapkan 25 September depan sebagai tarikh serahkan dokumen dan lantikan peguam.
ARTIKEL BERKAITAN:
Suspek patah balik ambil selipar selepas ceroboh rumah didakwa esok
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan selepas disyaki menceroboh rumah pempengaruh media sosial yang lebih dikenali sebagai Choii di Batu Maung di sini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek itu dilaporkan memasuki rumah pempengaruh tersebut menerusi pintu belakang ketika pembantu rumah keluar membuang sampah.
“Apabila menyedari kehadiran pengadu, suspek berjaya melarikan diri namun berpatah balik ke rumah berkenaan bagi mengambil selipar yang tertinggal,” katanya. – MalaysiaGazette
















