BALIK PULAU – Lelaki yang disyaki menceroboh rumah pempengaruh media sosial yang lebih dikenali sebagai Choii di Batu Maung di sini, akan didakwa esok di Mahkamah Balik Pulau.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, suspek akan dituduh mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.
“Kita telah terima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan ke atas suspek berusia 21 tahun itu akan dilakukan esok di Mahkamah Majistret Balik Pulau,” katanya ketika dihubungi hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN
Suspek patah balik tertinggal selipar sebelum ditahan tuan rumah
Media semalam melaporkan, lelaki tempatan itu direman selama empat hari sehingga 8 Ogos ini bagi membantu siasatan.
Sazalee berkata, suspek itu dilaporkan memasuki rumah pempengaruh tersebut menerusi pintu belakang ketika pembantu rumah keluar membuang sampah.
“Apabila menyedari kehadiran pengadu, suspek berjaya melarikan diri namun berpatah balik ke rumah berkenaan bagi mengambil selipar yang tertinggal,” katanya. – MalaysiaGazette
















