ISKANDAR PUTERI – Pengendali baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz meramalkan perlawanan Piala Sumbangsih menentang Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok sebagai satu pertembungan yang sengit antara dua kelab terbesar Liga Malaysia itu.
Sehubungan itu, Munoz memilih pendekatan yang berhati-hati dan enggan memandang rendah keupayaan pasukan lawan walaupun memiliki kelebihan dengan bermain di laman sendiri.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu berharap keputusan positif dalam beberapa siri perlawanan pra musim di Sepanyol bulan lalu memberi suntikan semangat selain memperkukuh keserasian antara pemain lama dan muka baharu JDT.
“Keputusan positif dalam aksi pramusim dilihat meningkatkan corak permainan sepasukan dan saya juga sudah mendapatkan gambaran kesebelasan utama yang akan diturunkan menentang Selangor.
“Bukan itu sahaja malah kesemua 34 pemain yang ada dalam skuad Harimau Selatan turut bersedia untuk diturunkan dalam skuad utama, ini kelebihan yang ada dalam JDT memiliki skuad yang besar.
“Bagi aksi pembukaan ini, mungkin permainan akan tidak stabil, jadi pemain buat pemain untuk kawal emosi dan cuba meneruskan rentak permainan pada perlawanan pramusim bagi mempertahan Piala Sumbangsih untuk kali kelapan berturut-turut,” katanya dalam sidang akhbar di Stadium Sultan Ibrahim di sini hari ini.
Munoz, 44, berkata, kehadiran beberapa pemain warisan seperti Jon Irazabal, Nacho Mendez, Joao Figueiredo dan Hector Hevel amat penting bagi menguatkan lagi barisan JDT menjelang perlawanan pertama Liga Super musim 2025-2026.
Sebagai persiapan, beliau sudah mengkaji skuad kendalian Katsuhito Kinoshi dan merangka strategi ampuh untuk mengekang Red Giants pada perlawanan tersebut.
Dalam masa sama, Munoz enggan mendedahkan formasi permainan yang akan digunakan bagi perlawanan, sama ada mahu bermain secara ofensif atau sebaliknya.
“Yang pastinya, saya akan mengekalkan falsafah JDT dengan corak permainan berintensiti tinggi dan akan memberi tekanan kepada pasukan lawan sepanjang perlawanan.
“Sebagai seteru utama, kami menghormati Selangor dan akan memberi tentangan habis-habisan bagi memperoleh kemenangan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















