BATU KAWAN – Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung satu kemalangan membabitkan sebuah lori dan kereta di kawasan Tol Bandar Cassia di sini yang tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Jay January Siowou berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi satu minit lima saat dimuat naik di akaun Facebook Penang Kini memaparkan kejadian kemalangan jalan raya di lokasi terbabit.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira 8.40 pagi pada 5 Ogos lalu apabila sebuah lori dari lorong kanan dipercayai menukar laluan ke kiri sebelum melanggar bahagian kanan sebuah kereta yang kebetulan berada di lorong sama.
“Impak pelanggaran menyebabkan kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar pembahagi jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Jay January, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tindakan lanjut telah diambil mengikut prosedur siasatan yang ditetapkan. Sehubungan itu, kita menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada dan memberikan perhatian penuh ketika memandu,” katanya. – MalaysiaGazette
















