ISKANDAR PUTERI – Selangor FC mengintai peluang untuk mencipta keajaiban dan menumpukan kekuatan pasukan untuk menang pada perlawanan Piala Sumbangsih di sini malam esok.
Kapten Selangor FC, Nooa Laine berkata, rekod kemenangan perlawanan Piala Sumbangsih sejak 2018 hingga tahun lalu yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak melunturkan semangat anak buahnya.
“Apa yang lebih penting bagi skuad Gergasi Merah itu adalah menumpukan kepada kekuatan pasukan untuk meraih keputusan positif pada perlawanan ini.
“Kehadiran beberapa pemain import yang dibawa masuk pada musim ini diharap mampu menjadikan pasukan lebih kuat untuk menyaingi kehebatan JDT.
“Kita sedia maklum kekuatan dimiliki JDT yang dibarisi ramai pemain berkualiti, tambahan pula mereka cukup bertenaga apabila beraksi di laman sendiri.
“Bagaimanapun, pasukan kita juga tidak kurang hebatnya dengan kehadiran beberapa muka baharu, harap mereka dapat menyesuaikan diri dan memberi nilai tambah buat pasukan.
“Jadi, kita akan berikan yang terbaik dan tentangan hebat terhadap pasukan tuan rumah menjelang perlawanan itu,” katanya pada sidang akhbar pra perlawanan Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kelibat pemain warisan yang menyertai JDT, Laine berkata, mereka merupakan watak penting Harimau Selatan yang perlu diberikan tumpuan pada perlawanan tersebut.
Katanya, Hector Hevel, Joao Figueredo, Jon Irazabal dan Nacho Mendez yang baharu menyertai JDT musim ini dilihat akan memberi ‘masalah’ buat Selangor.
“Saya pernah bersama-sama mereka ketika di kem Harimau Malaya dan kualiti yang dimiliki mereka cukup baik, tambahan pula mereka pernah menimba pengalaman di Eropah.
“Peluang bersama mereka juga boleh digunakan untuk beri kelebihan buat pasukan, supaya kita dapat baca permainan mereka dan tahu untuk mengekang pergerakan masing-masing,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















