Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan menunjukkan salah satu lori jenis tipper yang dikesan beroperasi tanpa cukai jalan dan perlindungan insurans sah sejak tujuh hingga sembilan tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 17,347 kesalahan pemandu kenderaan perdagangan dan berat membabitkan warga asing dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak tahun 2021 hingga Julai lalu.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti kira-kira 10 syarikat kenderaan perdagangan yang menggajikan pekerja asing secara tidak sah.

“Setakat ini, kita sudah kenal pasti sekurang-kurangnya 10 syarikat, kita juga dalam proses mengumpul dan mengesahkan data yang diberikan mengenai semua syarikat berkenaan.

“Sepanjang tempoh itu, antara kesalahan dikesan 16,238 kes warga asing direkodkan tiada Lesen Kenderaan Barangan (GDL), (443 kes) tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan (663 kes) memandu kenderaan lebih muatan. 

“Jumlah kesalahan itu mencatatkan peningkatan setiap tahun iaitu 2021 dengan 2,193 kes, 2022 (2,839 kes), 2023 (4,323 kes), 2024 (5,259 kes) dan tahun ini sehingga Julai merekodkan 2,733 kes,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Kifli, warga asing adalah tidak dibenarkan memiliki GDL, PSV dan tindakan akan diambil terhadap syarikat dan pengendali berlesen, termasuk kemungkinan pembatalan permit mereka.

Terdahulu dilaporkan, terdapat syarikat yang didapati menggaji warga asing untuk memandu kenderaan perdagangan kini akan berdepan tindakan lucut hak kenderaan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast