Hani Kamila selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati yang dikenali sebagai Abang Saef Hud.

KUALA LUMPUR – Anak pelakon, Puan Sri Tiara Jacquelina dan Allahyarham Hani Mohsin iaitu Hani Kamila selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya, Abang Saef Hud dalam sebuah majlis tertutup semalam.

Menerusi video yang tular, majlis itu hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Mila atau nama sebenarnya, Hani Kamila Hani Mohsin, 29, yang juga seorang pelakon kelihatan anggun menggayakan busana serba putih manakala suaminya segak menyarung baju Melayu warna sedondon.

“Terima kasih semua untuk ucapan tahniah dan doa yang baik kalian semua untuk puteri tercinta saya. Saya mohon sama-sama doakan agar Mila dan suaminya bahagia hingga ke anak cucu.

“Terima kasih juga atas ingatan dan doa untuk arwah Hani Mohsin. Insya-Allah dia gembira melihat anak kesayangannya bergelar isteri,” kata Tiara membalas komen netizen dalam sebuah video TikTok.

Mila merupakan anak sulung kepada Tiara Jacquelina dan Hani Mohsin.

Pada 25 Julai 2006, Hani yang juga pelakon dan juga hos rancangan Roda Impian telah meninggal dunia di Terminal Tambang Murah (LCCT), Sepang ketika berusia 41 tahun.

Arwah ketika itu sedang menunggu penerbangan ke Langkawi bersama Mila yang ketika itu berusia sembilan tahun dan disahkan diserang sakit jantung yang meragut nyawanya.

Mila Mohsin merupakan anak pelakon Puan Sri Tiara Jacquelina dan Allahyarham Hani Mohsin.

Sementara itu, Mila turut mengikuti jejak langkah ibu bapanya apabila muncul menerusi filem Laknat pada Jun lalu selain seorang atlet seni mempertahankan diri jujitsu.

Dia mula menceburinya ketika melanjutkan pengajian di Australia dan pernah meraih pingat emas dalam pertandingan seni bela diri jujitsu bagi kategori 58 kilogram di Kejohanan Antarabangsa Terbuka Singapura

Dalam pada itu, jurusolek terkemuka, Khir Khalid menjadi pilihan Mila pada hari bahagianya itu.

“Puteri kesayangan Puan Sri Tiara Jacquelina melangsungkan majlis pernikahan yang cukup indah dan bermakna.

“Mila mewarisi bakat lakonan dari ibu dan ayahnya, Allahyarham Hani Mohsin dan Jun lalu muncul dengan filem Laknat,” kongsi Khir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast