KUANTAN – Hanya berbekalkan RM130, V. Tamilselvam dan isterinya K Muthu Chitara berkelana dari estet di Sungai Jerik, Maran untuk menjadi peneroka di Felda Lepar Hilir 4 di sini demi masa hadapan keluarga mereka.
Hari ini, dia yang berusia 63 tahun bersama isteri rasa bersyukur kerana merupakan antara 246 peneroka yang menerima geran tanah pemilikan setelah hampir 40 tahun penantian.
“Saya datang dulu dengan duit akhir gaji daripada kerja estet. Semua barang-barang untuk hidup, saya beli daripada hasil Felda, membesarkan anak-anak pun hasil Felda.
“Hari ini saya dan isteri betul-betul gembira sebab kami sudah lama menunggu,” katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Suratan Hakmilik Peneroka Felda Lepar Hilir 4 dan Lepar Hilir 1 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir di sini hari ini.
Perasaan sama turut dikongsi pasangan Nor Ashidah Mohamed, 58, dan Rusli Pilus, 60, dari Felda Lepar Hilir 4 di sini.
Menurut Rosli, kesusahan meneroka tanah rancangan ketika awal-awal menyertai Felda ternyata membuahkan hasil dengan pemberian geran tanah pemilikan hari ini.
“Semasa mula-mula berpindah ke sini, isteri saya baru lepas berpantang anak kedua kami. Masa tu memang susah tapi kami tahu ada tanah dan seperti jaminan untuk masa hadapan anak-anak,” katanya.

Justeru, pemberian geran pemilikan tanah hari ini memberi seribu satu makna dan kegembiraan buat mereka sekeluarga.
Penyerahan Suratan Hakmilik hari ini disampaikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada peneroka Felda Lepar Hilir 4 (157), Felda Lepar Hilir 1 (51), Felda Lepar Hilir 3 (4), Felda Bukit Sagu 1 (21), Felda Bukit Sagu 2 (9) dan Felda Bukit Sagu 3 (4).
Turut hadir, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam.
Dalam ucapannya, Wan Rosdy berkata, sehingga hari ini seramai 41,522 atau 96 peratus peneroka di Pahang telah menerima geran hakmilik dan bagi baki seramai 1,447 atau empat peratus peneroka yang masih belum mendapat geran hak milik akan diselesaikan seboleh-bolehnya tahun ini juga.

Tambahnya, satu lagi inisiatif penting yang diperkenalkan ialah Skim Tanah Rakyat Felda Pahang iaitu peluang pemilikan tanah untuk generasi baharu Felda dengan 16,035 lot rumah ditawarkan.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu anak peneroka sekadar menjadi pewaris sejarah dan berhasrat supaya mereka menjadi penerus kejayaan peneroka sebelum ini. – MalaysiaGazette
















