Kamil Ibrahim

KUANTAN – Pelaksanaan Program Air Percuma Pahang 1st oleh Kerajaan Negeri Pahang merupakan manifestasi jelas bahawa kestabilan pentadbiran negeri bukan sahaja berjaya dikekalkan, malah diterjemahkan dalam bentuk manfaat terus kepada rakyat.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Pahang, Mohd Kamil Ibrahim berkata, penjenamaan semula program Rebat Air Makmur (RAM) kepada inisiatif yang lebih segar dan menyeluruh ini membuktikan bahawa dasar kebajikan negeri kekal relevan dan responsif terhadap keperluan semasa rakyat.

”Dengan kedudukan kewangan kerajaan negeri serta Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) yang semakin kukuh, keputusan untuk memperuntukkan RM7.3 juta setahun bagi memberi air percuma 20m³ kepada 38,000 pengguna bukanlah satu janji kosong.

”Akan tetapi ia satu komitmen berasaskan kemampuan sebenar negeri. Ini mencerminkan ciri-ciri sebuah kerajaan yang cekap mengurus sumber, berpandangan jauh serta mesra rakyat.

”Lebih penting, program ini menyasarkan golongan yang benar-benar memerlukan, menjadikannya sebagai contoh model bantuan bersasar yang efektif, berbanding pendekatan populis semata-mata,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, ujarnya mesej penekanan terhadap budaya penjimatan dan pengelakan pembaziran air juga menzahirkan pendekatan holistik kerajaan bukan sekadar memberi bantuan, tetapi mendidik masyarakat ke arah pembangunan lestari.

Secara keseluruhan, inisiatif ini bukan sahaja menjamin kesejahteraan rakyat terbanyak, malah menjadi cerminan bahawa kestabilan politik dan tadbir urus baik di Negeri Pahang sedang dan akan terus menghasilkan dasar-dasar yang membina, mampan dan berimpak tinggi.

”Bila kestabilan dapat diperkukuh, manfaat terus dirasai. Inilah Pahang 1st,” ujar Kamil. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pahang teruskan beri air percuma kepada 38,000 penduduk

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast