Wan Mahanim Wan Muhammad, 58, disahkan meninggal dunia di dalam rumah seorang diri.

ALOR GAJAH – Keprihatinan seorang remaja mengintai di tingkap jirannya telah membongkar kematian wanita dalam sebuah rumah di Taman Seri Gamelan, Kuala Sungai Baru, di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, dalam kejadian jam 7.44 malam itu, remaja lelaki berkenaan telah memanggil jirannya tetapi tiada sahutan.

“Remaja berkenaan yang ketika itu hendak pergi mengaji berasa pelik melihat lampu rumah terang benderang sebelum mengintai melalui tingkap dan terkejut apabila melihat sekujur tubuh terbaring di atas lantai.

“Sebaik menerima panggilan kecemasan, pasukan polis bersama anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian terpaksa memecahkan pintu dan menemukan mangsa terbaring di ruang makan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed

 

Menurutnya, pemeriksaan petugas perubatan mendapati mangsa, Wan Mahanim Wan Muhammad, 58, yang tinggal bersendirian dan tidak pernah berkahwin sudah meninggal dunia.

Wan Mahanim dikatakan tidak sihat selepas balik umrah.

“Pemeriksaan awal pada tubuh pesara Kolej Matrikulasi Melaka (KMM) di Londang, itu mendapati tiada sebarang kesan atau unsur jenayah.

“Jenazah kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi tujuan bedah siasat dan kes setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah, Pegawai Bomba Kanan II Norhayati Rahmat berkata, pihaknya menerima penggilan kecemasan pada jam 8.03 malam mengenai kes wanita terkunci di dalam rumah.

“Pasukan bomba kemudian membuka pintu yang berkunci menggunakan peralatan khas sebelum petugas perubatan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast