KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan perbicaraan kes rasuah melibatkan bekas setiausaha politik, Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad berlangsung 25 Ogos ini.
Perbicaraan akan berlangsung selama tiga hari sehingga 28 Ogos depan.
Perkara tersebut diputuskan oleh Hakim, Rosli Ahmad.
Terdahulu hari ini, peguam kepada Sayed Amir yang merupakan bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu diarahkan menyerahkan pernyataan pembelaan kepada pihak pendakwaan.
Sayed Amir diwakili oleh peguamnya, Asmadi Hussin dan serahan dokumen itu ditetapkan pada 22 Ogos ini.
Manakala, Timbalan Pendakwa Raya bagi kes itu adalah Hazel Tan.
Sebagai rekod, Sayed Amir sebelum ini didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM350,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn Bhd, Wan Azhar Mohamed Yusof.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu ketika menyandang jawatan setiausaha politik.
Berdasarkan pertuduhan, rasuah yang diterimanya adalah sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan serta pembekalan alat ganti untuk peralatan infrastruktur, pelayan, perisian serta radio pengguna sistem RMPNET PDRM berjumlah RM381,112,042.44.
Kesalahan didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas di sini pukul 4 petang 4 Disember 2020 dan 3.30 petang 16 Disember tahun sama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
-MalaysiaGazette
















