KUALA LUMPUR – Perdagangan borong & runcit mencatatkan jumlah jualan sebanyak RM153.0 bilion pada Jun 2025, merekodkan pertumbuhan 4.8 peratus tahun ke tahun.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan dalam jualan sektor perdagangan borong & runcit pada Jun 2025 didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan runcit dan perdagangan borong.
Subsektor perdagangan runcit mencatatkan jumlah jualan RM67.5 bilion, meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun, manakala subsektor perdagangan borong mencatatkan RM68.3 bilion, meningkat sebanyak 5.2 peratus.
Perkembangan berterusan dalam subsektor ini mencerminkan aktiviti penggunaan domestik yang kukuh, disokong oleh perayaan seperti sambutan Aidiladha dan cuti sekolah pertengahan tahun.
Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan jualan sebanyak RM17.1 bilion dengan kenaikan marginal tahun ke tahun sebanyak RM0.1 bilion atau 0.7 peratus.
Seiring dengan pertumbuhan sektor perdagangan, transaksi pembayaran digital di Malaysia mencatatkan peningkatan tahunan yang kukuh pada Jun 2025.
Transaksi wang elektronik (E-money) melonjak sebanyak 71.3 peratus tahun ke tahun kepada RM21.7 bilion, mencerminkan penggunaan meluas pembayaran mikro tanpa tunai.
Transaksi melalui Real-time Retail Payments Platform (RPP) berjumlah RM277.2 bilion, menunjukkan kecenderungan yang semakin meningkat
terhadap pemindahan dana secara pantas dan mudah.
Sementara itu, transaksi melalui Financial Process Exchange (FPX) berkembang sebanyak 11.4 peratus keypad RM31.2 bilion, didorong oleh peningkatan aktiviti perbankan dalam talian.
Transaksi kad kredit kekal stabil pada RM18.1 bilion, manakala transaksi kad debit merekodkan pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus kepada RM13.2 bilion mencerminkan penggunaan yang semakin tinggi terhadap pembayaran digital dalam urusan harian, didorong oleh keperluan pengguna
terhadap kepantasan dan kemudahan ekonomi digital yang kian meluas.
Menurut Ketua Perangkawan, jualan runcit di kedai bukan pengkhususan merekodkan peningkatan sebanyak 5.7 peratus tahun ke tahun kepada
RM26.2 bilion didorong terutamanya oleh peningkatan jualan di pasar raya, pasar mini dan kedai serbaneka.
Jualan runcit di kedai pengkhususan turut menunjukkan prestasi positif dengan pertumbuhan sebanyak 5.9 peratus kepada RM14.3 billion disumbangkan oleh peningkatan jualan runcit kosmetik, pakaian, barang kemas dan barangan optik.
Jualan runcit bahan api kenderaan meningkat 6.0 peratus tahun ke tahun kepada RM6.2 bilion.
Sementara itu, jualan runcit peralatan isi rumah dan makanan, minuman & tembakau meningkat masing-masing sebanyak 3.8 peratus dan 6.5 peratus.
Mohd Uzir menjelaskan, jualan borong makanan, minuman & tembakau merekodkan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 6.7 peratus untuk mencapai RM13.9 bilion didorong terutamanya oleh peningkatan dalam jualan borong daging, ayam, telur, beras, bijirin, tepung, gula dan produk bakeri.
Jualan borong barangan isi rumah turut mencatatkan pertumbuhan yang kukuh dengan peningkatan sebanyak 5.3 peratus kepada RM14.4 biliondipacu oleh jualan yang tinggi dalam barangan elektrik & elektronik serta pakaian, perabot dan peralatan lampu.
Di samping itu, jualan borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup menyumbang kepada prestasi keseluruhan subsektor ini dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 12.2 peratus kepada RM6.6 bilion disumbangkan terutamanya oleh peningkatan dalam jualan minyak kelapa sawit, kayu balak dan kayu-kayan. – MalaysiaGazette















