P. Ramasamy

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bertanggungjawab dan tidak boleh dibiarkan terlepas sekiranya terbukti berbohong dalam dakwaan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu subsidi minyak.

Presiden Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, tindakan Anwar itu merupakan satu pelanggaran serius terhadap peraturan dan etika Parlimen.

Jelasnya, adalah tidak wajar bagi seorang Perdana Menteri membuat kenyataan yang tidak benar di Parlimen, apatah lagi ketika aganesi-agensi kerajaan dengan peruntukan besar wujud untuk mengesahkan maklumat bagi pihak beliau.

“Menyebarkan sesuatu yang palsu tentang orang lai terutamanya melibatkan anggota pembangkang melemahkan integriti proses Parlimen.

“Anwar tidak boleh dibiarkan terlepas daripada pembohongan ini.

“Kebertanggungjawaban dan kebenaran mesti ditegakkan di badan perundangan tertinggi negara,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Anwar dalam sidang Dewan Rakyat mendakwa Muhyiddin pernah membuat keyataan seolah-olah mempertahankan pemberian subsidi petrol kepada warga asing.

Bagaimanapun, Muhyiddin menafikan pernah membuat kenyataan sedemikian dan mendesak Anwar memberikan bukti atau memohon maaf kerana memfitnah beliau.

Isu itu berlarutan apabila Anwar mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat penafian Ahli Parlimen Pagoh berkenaan.

Sementara itu, Ramasamy berkata, Anwar sepatutnya memohon maaf kepada Muhyiddin seperti yang diminta sama ada di dalam atau di luar Parlimen.

Namun, ujarnya, Anwar yang dilindungi oleh keistimewaan Parlimen, mengetahui beliau tidak boleh disaman kerana fitnah atas kenyataan yang dibuat di dalam Dewan Rakyat.

“Jika Anwar benar-benar yakin dengan apa yang beliau katakan, beliau seharusnya mengulangi dakwaan tersebut di luar Parlimen, di mana Muhyiddin berhak mengambil tindakan undang-undang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast