KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu Malaysia, Hilman Idham mendesak Menteri Pendidikan dan Menteri Dalam Negeri meletakkan jawatan serta-merta susulan kegagalan menangani kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang kini mencetuskan gelombang kemarahan rakyat, khususnya di Sabah.
Beliau berkata, perhimpunan besar-besaran yang diadakan di Sabah semalam adalah manifestasi hilangnya keyakinan rakyat terhadap kerajaan dan sistem kenegaraan walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa keadilan akan ditegakkan.
“Biarpun Perdana Menteri memberi jaminan keadilan akan ditegakkan, himpunan itu membuktikan rakyat, terutamanya kaum ibu, sudah tidak lagi yakin dengan sistem pendidikan, penguatkuasaan undang-undang dan keadilan di negara ini.
“Ternyata, kedua-dua menteri berkenaan gagal menguruskan kes ini dengan baik,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.
Hilman mengulas lebih 1,000 orang membanjiri sekitar dataran Harbour Mall, di Sabah untuk menghadiri aksi ‘vigil’ bagi menuntut keadilan terhadap remaja itu.
Penganjur Sekretariat Solidariti Zara, Mohamad Kadir Abdul Jalil, berkata program itu sebagai tanda solidariti dan simpati terhadap keluarga Zara, di samping menuntut kebenaran di sebalik kejadian menimpa pelajar itu dapat dibuktikan.
Turut hadir Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Elopura Calvin Chong Ket Kiun.
Selain Sandakan, aksi vigil itu turut dilakukan di beberapa lokasi di negeri ini termasuk Tawau dan Lahad Datu.
Dalam pada itu, kata Hilman, kelemahan pengurusan kes itu ketara, termasuk kecelaruan dan ketempangan dalam siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.
“Persoalan asas seperti mengapa prosedur post-mortem tidak dijalankan masih gagal dijawab sehingga hari ini. Bukankah itu merupakan prosedur atau SOP asas?
“Bila tiada jawapan dan tindakan segera daripada pihak bertanggungjawab menunjukkan kegagalan kepimpinan dalam menangani tragedi yang menyentuh hati nurani rakyat,” tegasnya.
Sehubungan itu, pihaknya Malaysia menuntut kedua-dua menteri terbabit mengambil tanggungjawab penuh dengan meletakkan jawatan, selain menggesa Perdana Menteri dan kabinet segera menubuhkan sebuah inkues khas bagi menyiasat kematian Zara Qairina.
Hilman menegaskan, langkah tersebut penting bagi memastikan semua pihak yang terlibat dipertanggungjawabkan dan keadilan benar-benar ditegakkan demi maruah mangsa selain keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, ditemui ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi.
Pelajar itu disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. -MalaysiaGazette

















That is a signal for the people of Sabah to reject the Hajiji and grs government