KUALA LUMPUR – DAP Sabah melahirkan komitmen dan menyatakan sokongan penuh terhadap langkah Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan siasatan berhubung kematian tragis Zara Qairina.
Ini termasuk melakukan penggalian semula jenazah bagi tujuan bedah siasat yang lebih menyeluruh.
Menurut Pengerusi DAP Sabah, Phoong Jin Zhe, tindakan tersebut penting bagi memastikan siasatan dijalankan dengan teliti, menyeluruh dan berlandaskan prinsip ketelusan serta integriti.
“Rakyat berhak mengetahui kebenaran sebenar, dan keluarga Zara Qairina layak mendapatkan jawapan yang jelas serta keadilan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Jin Zhe yang juga merupakan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah itu turut merakam penghargaan kepada rakyat Sabah yang berani turun berhimpun dan berdemonstrasi di pelbagai lokasi termasuk Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu bagi menunjukkan solidariti kepada keluarga Zara Qairina.
“Saya berdiri teguh bersama rakyat Sabah khususnya mereka yang berhimpun di seluruh negeri untuk menyatakan sokongan dan solidariti terhadap keluarga arwah Zara Qairina,” ujarnya.
Katanya lagi, semua pihak perlu memberi kerjasama penuh agar siasatan dapat dijalankan berdasarkan fakta, dan hasilnya diumumkan segera bagi mengelakkan wujudnya spekulasi tidak benar yang boleh menjejaskan proses keadilan.
“DAP Sabah berdiri teguh bersama keluarga Zara Qairina, rakyat Sabah, dan seluruh rakyat Malaysia dalam memastikan kebenaran dan keadilan dijunjung dan ditegakkan,” tegas beliau.
Kes kematian Zara Qairina mencetuskan gelombang kebangkitan rakyat Sabah sejak beberapa minggu lalu, dengan desakan berterusan agar pihak berkuasa menyiasat semula punca sebenar kematian kanak-kanak tersebut dan memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, ditemui ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama pada jam 4 pagi.
Pelajar itu disahkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I di Kota Kinabalu. – MalaysiaGazette
















